Post sponsored by NewzEngine.com

Source: Bank Negara Malaysia

Speeches & Interviews
Ucapan oleh Penolong Gabenor di Majlis Perasmian Pameran LATerasi Kewangan
Speaker: Encik Abu Hassan Alshari Yahaya Venue: Muzium Negeri Terengganu, Terengganu, Malaysia Language: Bahasa Melayu Speech Date: 25 Aug 2019
Dari segi latar belakangnya, Pameran LATerasi Kewangan ini dilancarkan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur pada tahun 2015. Ia merupakan pameran karikatur hasil karya tersendiri Datuk Lat yang diterbitkan dalam 14 siri Buku Wang Saku keluaran Bank Negara Malaysia dari tahun 1999 sehingga tahun 2012. Ia bertujuan untuk menyemai tabiat mengurus wang secara berhemat dari usia muda. Atas sambutan dan maklumbalas yang memberangsangkan, pameran ini kemudiannya dijadikan sebagai satu ‘pameran bergerak’ merentasi seluruh negara.
Kembara LATerasi Kewangan ini bermula dalam skala yang kecil pertama kalinya di Muzium Padi, Kedah semasa Hari Muzium Antarabangsa 2016. Ia seterusnya ke Muzium Negeri Pulau Pinang pada tahun yang sama dan ke Muzium Darul Ridzuan, Perak pada tahun 2018. Dan kini tiba masanya, kita bawakan kompilasi karikatur Buku Wang Saku ini ke Terengganu pula, iaitu negeri pantai timur yang dipilih sebagai lokasi Pameran LATerasi Kewangan ini. Saya percaya Pameran LATerasi Kewangan di Muzium Negeri Terengganu akan turut mendapat sambutan yang menggalakkan terutamanya dari peminat dan pengikut karya-karya Datuk Lat.
Pendidikan kewangan merupakan perkara yang penting bagi memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan demi mempertingkatkan kesejahteraan masing-masing. Meningkatan pengetahuan kewangan membolehkan orang ramai menguruskan hal kewangan dan merancang masa depan mereka dengan lebih bijak. Justeru, Buku Wang Saku merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan bermula daripada masa kanak-kanak lagi. Ia bertujuan membantu para pelajar menjejaki perbelanjaan dan membimbing mereka menguruskan wang saku dengan berkesan. Bank Negara Malaysia sangat berbesar hati kerana Datuk Lat telah dapat memberi komitmen padu dan bermakna dalam menterjemahkan topik-topik yang kadangkala sukar difahami menjadi lebih menarik dan mudah difahami untuk pelajar-pelajar sekolah. Hasilnya, sejak tahun 1999, lebih kurang 15.5 juta salinan Buku Wang Saku telah diedarkan kepada lebih daripada 10,000 buah sekolah di seluruh negara bagi memberi pendedahan mengenai hal ehwal kewangan kepada pelajar-pelajar sekolah.
Karikatur-karikatur lakaran Datuk Lat menerusi Buku Wang Saku telah berjaya menarik perhatian para pelajar, guru-guru dan ibu bapa di mana buku ini digunakan secara meluas sebagai satu alat untuk menjejak kewangan mereka, memupuk tabiat menyimpan dan seterusnya menggalakkan pengurusan kewangan yang berhemah. Hasil karya beliau ini telah menyentuh pelbagai aspek pengurusan kewangan seperti simpanan; apakah bezanya antara keperluan dan kehendak; mengelakkan pembaziran dan lain-lain lagi yang disampaikan melalui visual yang kreatif serta menghiburkan. Karikatur-karikatur ini digarap dengan intipati menarik yang memberi gambaran kehidupan sebenar kepelbagaian masyarakat di Malaysia dari segi bangsa, budaya dan tradisi. Selain itu, karya beliau juga memberikan impak positif dalam mempromosikan keharmonian sosial dan nilai-nilai murni. Ramai rakyat Malaysia membesar dengan hasil karya beliau yang telah menyentuh pelbagai aspek kehidupan serta memberikan kita gambaran suasana social serta perkembangan ekonomi dan politik dalam negara ini. Antara karakter yang diketengahkan di dalam Buku Wang Saku termasuklah watak-watak dalam siri kartun Kampung Boy iaitu Mat, yang nakal dan Mrs. Hiew, yang terkenal sebagai karakter yang garang. Dalam pameran ini, unsur-unsur negeri Terengganu juga turut diterapkan bagi mendekatkan ia dengan pengunjung tempatan.
Bank Negara Malaysia memainkan peranan aktif dalam memberi penekanan pendidikan kewangan bagi kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak di awal usia sehingga golongan dewasa supaya mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak. Di antara inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan adalah:
Pertama, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK) yang menyediakan pelbagai saluran untuk orang ramai mendapatkan maklumat perkhidmatan kewangan dan khidmat nasihat kewangan. Ini secara langsung meningkatkan tahap literasi kewangan.
Kedua, program pendidikan kewangan untuk penjawat awam di mana pada tahun 2018, Bank Negara Malaysia telah melaksanakan 29 program interaksi mengenai kesedaran tentang pengurusan kewangan berhemat yang memanfaatkan 2,354 penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan di seluruh Malaysia dan juga interaksi melalui ‘Train-the-Trainer’ yang melibatkan 7,914 penjawat awam melalui 180 program kendiri yang dianjurkan.
Ketiga, Karnival Kewangan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan dan negeri untuk mendekati rakyat menerusi program rangkuman kewangan yang menghimpun begitu banyak dan pelbagai penyertaan di bawah satu bumbung, terdiri daripada institusi kewangan, persatuan-persatuan institusi kewangan, serta agensi kerajaan dan swasta. Karnival ini memupuk kesedaran tentang produk dan perkhidmatan perbankan, insurans dan takaful, serta memberi maklumat terkini berhubung isu penipuan kewangan disamping bagaimana untuk mengenali mata wang ringgit dan ciri-ciri keselamatannya. Di peringkat kebangsaan bermula di PWTC, Kuala Lumpur pada Januari 2017, seterusnya ke Kota Kinabalu, Sabah, Kuching, Sarawak dan terbang semula ke utara semenanjung Alor Setar, Kedah pada Januari 2018. Terbaharu, pada April tahun ini, bertempat di TH Hotel and Convention Centre, karnival kewangan kebangsaan ini diadakan di negeri Terengganu sendiri. Manakala di peringkat daerah pula, pada tahun lepas dan tahun ini, kami telah ke beberapa daerah seperti Jerantut, Labuan, Taiping, Miri dan Melaka Tengah. Karnival kebangsaan dan daerah ini telah berjaya menarik seramai lebih 150,000 pengunjung yang mendapat pelbagai manfaat.
Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan baharu sahaja dilancarkan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Julai 2019 lalu. Strategi ini dirangka oleh Rangkaian Pendidikan Kewangan (FENetwork), sebuah kumpulan antara agensi yang diterajui Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) bersama-sama anggota pengasasnya terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB). Strategi Kebangsaan ini menetapkan keutamaan dan pelan tindakan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. Usaha bersama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memupuk nilai-nilai kewangan yang baik bermula daripada usia muda telah mencatatkan integrasi pendidikan kewangan yang progresif ke dalam kurikulum sekolah hingga ke Tingkatan Dua. Integrasi tersebut dijangka dilaksanakan untuk semua peringkat sekolah rendah dan menengah menjelang tahun 2021.
Selain pendidikan kewangan di sekolah-sekolah, Bank Negara Malaysia juga menggunakan pelbagai saluran dan platform untuk menggalakkan kesedaran dan pendidikan kewangan untuk orang ramai secara berterusan. Sejumlah 1,700 sesi pembelajaran tentang pengurusan kewangan peribadi telah dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh negara yang menjangkau lebih 1.6 juta orang sepanjang tahun 2018. Di negeri Terengganu pula lebih 116 ribu orang telah mendapat kaunseling kewangan sementara lebih 26 ribu orang telah memasuki program pengurusan hutang untuk membantu mereka menyelesaikan hutang masing masing dengan teratur.
Pameran LATerasi Kewangan ini memberi penghormatan kepada legasi berterusan Datuk Lat di atas sumbangan besar beliau kepada negara termasuklah usaha beliau dalam menyokong kita untuk meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dan memperkayakan kesenian Malaysia. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Datuk Lat atas jasa beliau selama ini.
Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu kerana sudi hadir untuk merasmikan pameran ini di Kuala Terengganu.
Terima kasih kepada Lembaga Muzium Negeri Terengganu di atas kerjasama dan sokongan dalam memastikan pameran ini dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya.
Dan terima kasih juga kepada anda semua kerana dapat bersama-sama kami dalam pelancaran pameran LATerasi Kewangan ini yang akan berlangsung sehingga Februari 2020 di Muzium Negeri Terengganu. Saya percaya anda semua akan terhibur dengan lukisan kreatif Datuk Lat sambil menghayati mesej yang ingin disampaikan.

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.

MIL OSI Asia Pacific News